Wednesday 10 May 2017

Catatan Umrah 3 - Senarai Barangan Perlu Dibawa



Berikut barangan yang sesuai perlu di bawa semasa berada di Mekah dan Madinah :

  1. Pakaian Ihram 2 pasang
  2. Tali pinggang ihram
  3. Buku doa umrah
  4. Gunting kecil (untuk saie)
  5. Spray wudu
  6. Botol mineral
  7. Beg selipar
  8. Baju panas (untuk musim sejuk)
  9. Baju melayu
  10. Jubah 2 pasang-boleh beli banyak di ke dua-dua lokasi
  11. Tafsir Quran
  12. Al-Maathurat
  13. Sejadah yang ringan (barangan harian ke masjid)
  14. Baju tidur
  15. Selipar terbuka di hadapan (lelaki)
  16. Kasut
  17. Tuala
  18. Tuala kecil
  19. Tshirt
  20. Singlet 
  21. Seluar panjang / Slack
  22. Kain Pelikat
  23. Phone /charger international
  24. Sarung beg 
  25. Krim /moisteriser /vaseline /pelembap wajah
  26. Ubat-ubatan
  27. Minyak urut (sangat diperlukan)
  28. Jam / Tasbih
  29. Cermin mata gelap
  30. Botol air kecil
  31. Tisu basah
  32. Ketip kuku

Tambahan untuk muslimah 

  1. Stokin tebal 8 pasang
  2. Tudung labuh / Mini telekung
  3. Pakaian Dalam (amat sesuai beli yang guna pakai buang terutama sewaktu perjalanan yang mengambil masa seperti atas flight  dan perjalanan Mekah ke Madinah)
  4. Serkop hitam  (digalakkan pakai sewaktu melakukan umrah )
  5. Telekung
  6. Stokin Lengan /stongan
  7. Kasut tawaf 
  8. Baju kurung 
  9. Selipar 
  10. Stokin Kasut untuk tawaf dan saie
  11. Jubah seluar (jika tak mahu pakai jubah labuh)
  12. Kain batik
Macam nak pergi melancong, saya mahu seboleh-bolehnya seselesa berada di rumah atau di mana-mana saja tempat yang mahu dikunjungi. Jadi tak hairanlah kalau beg simple yang mutawif sering bekalkan tu agak tidak memenuhi citarasa kerana agak kecil. Kalau memang dah berniat nak bershopping untuk sahabat handai memang tak cukup. Cadangan saya macam sorang kawan ni, beli beg 3in1 kegemaran di Malaysia, bawa satu beg besar saja semasa pergi (2 anak beg yang lebih kecil ada dalam beg yang dibawa) Sampai di sana, isi kesemua beg dengan barangan yang hendak dibawa. Tak perlu beli beg di sana. 

Saturday 11 March 2017

Catatan Umrah 2 - Persediaan



Persediaan fizikal dan rohani amat penting. Banyak dah diceritakan di mana-mana blog dan buku. Bagi kami, untuk yang pergi buat pertama kali, memang perlu sangat dengan info pengalaman orang lain yang terdahulu. Catatan saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman kami. Namun tidak semua kami detailkan di sini, terutama sekali hal-hal berkaitan umum yang telah banyak dinyatakan dalam blog-blog lain.

1. Jangan hanya mengharapkan syarikat mutawif untuk memberikan info dan panduan secara detail. Cari segala maklumat di luar sana. Cadangan pertama saya ialah Buku Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman yang ditulis oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim.

2. Hadirkan hati kita dengan keikhlasan  dan niatkan kerana Allah dalam setiap aktiviti harian kita. Biasakan dengan zikir dan amalan sunat harian dalam aktiviti seharian kita. Biasakan dengan hafalan doa-doa supaya kita tidak kekok untuk membaca doa-doa disana.

3. Terasa jauh lagi pencapaian rohani untuk kesana. Itu yang saya rasa apabila menjelang hari  yang istimewa ini. Malah ada perkara yang tiba-tiba muncul di saat saat akhir yang kadang-kadang membuat kita hampir putus asa untuk terus bersemangat. MasyaAllah. Beristighfarlah banyak-banyak Perkara yang tak di jangka, terasa sayang untuk meninggalkan anak-anak dan hal-hal lain mungkin boleh hampir mengganggu fikiran.

4, Salah satu aktiviti wajib semasa di sana ialah perjalanan panjang dan kadang-kadang agak memenatkan menuju dan balik dari masjid. Itu sudah tentu. Sebulan sebelum tarikh, kami mengambil beberapa hari yang lapang untuk jogging. Untuk yang agak berusia, saya cadangkan pilihlah aktiviti yang agak ringan dan sesuai dengan usia.

5. InsyaAllah, apabila kita fokus, Allah akan beri jalan untuk pergi pada waktu yang terdekat.


10 Perkara Persediaan ke Tanah Suci / Menunaikan umrah

1. Fikirkan dan cari apa yang perlu disediakan lebih awal menjelang pemergian ke Tanah Suci. Dua bulan atau sebulan sebelum, kita telah confirm tentang tarikh pergi, masa bertolak, no. flight dan maklumat tentang suasana di sana.

2. Persedian fizikal harus dilakukan. Untuk yang biasa penat dan mengantuk, boleh ambil vitamin yang berkaitan.

Tinggal lagi sebulan, saya dah mula mencari-cari apa2 persiapan yang patut yang boleh disediakan lebih awal. Persediaan mental amat perlu, fizikal apatah lagi. Setiap kali terbayang kan kaabah yang bakal di ziarahi, setiap kali itu terasa kecil nya diri ini. Mampukah. Layakkah. Buat satu senarai check list apa yang perlu di bawa. Survey kedai kalau rajin. Pastikan buat lebih awal, supaya tidak terburu-buru.

3. Memberitahu sahabat handai dan meminta maaf. Salah satu, boleh tawarkan untuk doakan depan kaabah di sana. Bukan apa, satu kepuasan diri insy. Menolong orang, dapat pahala. Mungkin boleh tawarkan pada mereka untuk kita doakan di tempat mustajab nanti.

4. Compile data dan doa untuk diri sendiri di sana nanti. Bukan kita ingat semua apa yang kita inginkan. Mana la tahu ada yang tertinggal. Jadi, buat satu doa bertulis atau bertaip yang sangat berkait rapat dengan kita sendiri. Dari kehidupan kita, anak-anak mahupun sesiapa saja yang ingin kita doakan. Sesungguhnya hidup ini adalah persediaan menuju akhirat. Kita ingin semua orang yang disayangi bersama-sama  kita menuju syurga

4. Membuat doa selamat

5. Beli barangan berkaitan umrah. orang perempuan lebih teliti. kalau boleh buat sendiri, seperti tudung labuh (mana tahu terbuka hati untuk terus memakainya)

6. Hafal doa-doa penting dan makna seperti sampai mekah, doa lihat kaabah, talbiah . BETULKAN niat kerana kalau kita fokus untuk mendapatkan apa yang kita inginkan, insyaallah. Contoh : berazam untuk berubah. Doa hari-hari di depan kaabah (sangat makbul) yakin Allah akan mengabulkan.

7. Berdoa agar dipermudahkan urusan sebelum tiba harinya. Berdebar rasa, tak dapat di ceritakan. Berdoa agar sesiapa yang ditinggalkan akan sentiasa dalam pemeliharaannya. Malah waktu ini, jika boleh banyakkan berdoa, untuk diri sendiri, untuk anak-anak, ibu-bapa dan orang-orang tersayang disekeliling kita

8. Dalam kesibukan harian, mungkin kita terlupa melengkapkan diri untuk menjadi orang yang bersedia untuk kesana. Untuk yang dah biasa amalkan perkara2 sunat, teruskan dan dengan lebih sempurna. Untuk yang terlalu sibuk, carilah masa untuk melakukan ibadah sunat seperti solat2 sunat, berjemaah di masjid, bangun malam untuk persediaan diri. Mudah-mudahan ia menjadi titik tolak untuk kita terus istiqamah.


Bersambung

Catatan Umrah 1 - Bila nak pergi umrah?



16 Disember 2016.
Tarikh ini adalah tarikh keramat buat kami. Saya dan sidia. Baru saja menyambut Anniversary perkahwinan kami yang ke 22. Perjalanan hidup yang sangat panjang dan penuh ranjau. Hampir tak terasa kerana bila ia sudah hadir dan berlalu,  kita teringin sekali untuk menoleh belakang dan mula merasa teruja dengan langkah-langkah kami yang sumbang. Tarikh ini juga tarikh penuh bermakna kerana akhirnya kami diberi peluang dan laluan oleh Allah untuk melakar perjalanan kami yang telah lama kami rancang yakni melakukan umrah. Tarikh telah dipilih. InsyaAllah catatan yang bakal saya lakar di dalam blog ini akan memberi panduan dan petunjuk mudah untuk bakal-bakal tetamu Allah. Memang terasa seperti tidak berdaya kerana terfikir di dalam minda, siapa lah saya. Ada ramai lagi diluar sana yang begitu teliti menulis coretan tentang pengalaman umrah dan haji yang sangat tertib dan jelas. Saya pula bukanlah sesiapa.

Namun jauh di sudut hati saya, alangkah manisnya jika ada sesuatu yang saya tinggalkan dan lakarkan di halaman kegemaran saya ini untuk panduan sesiapa saja yang begitu berdebar untuk ke sana seperti mana saya pada saat itu. Niat saya cuma satu, biarlah ianya menjadi panduan dan ilmu yang sangat berguna untuk sesiapa saja yang bakal jadi tetamunya. Coretan saya nanti adalah pendapat umum saya, maaflah jika tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.  Muga mana yang boleh dijadikan panduan, kekal lah ia dihati pemilik hati itu untuk beliau terus teruja sementara menunggu jemputan Allah untuk menunaikan umrah atau haji. Juga untuk doa diri sendiri, semuga tiada niat lain seperti menunjuk-nunjuk, takbur atau negatif di dalam sepanjang saya menulis tentang perjalanan umrah kami.

Sebenarnya perancangan asal yang ada ialah kami sedang menunggu untuk menunaikan haji secara muassasah. Walaupun masa agak singkat, ada teman-teman yang memohon pada tarikh seangkatan sudah mula mendapat tawaran haji. Mungkin kami belum bernasib baik. Kita merancang dan Allah jua merancang untuk kita.

Sebaik confirm dengan tarikh, saya dan suami mula melakukan persiapan dan persediaan fizikal. Memang nampak mudah, namun apa yang saya alami ialah satu transformasi dalam diri tentang kesedaran untuk fokus pada ibadah yang tak pernah dilakukan sebelum ini.

Bila waktu yang sesuai untuk melakukan umrah ? - Pilihlah seawal mungkin, sebaik sahaja kita mampu terutama dari segi kewangan untuk melakukannya. Mula fokus dan simpan keinginan untuk pergi ke tanah suci. Caranya dengan mula menyimpan di tabung haji untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Haji - ibadah yang perlu menunggu dan mengikut regulasi negara kita. Apabila jumlah wang dah cukup, mula merancang untuk umrah kerana ianya tiada kekangan masa sepertimana menunaikan haji.  Jadi fokuskan untuk umrah. Jangan kata kita masih belum bersedia. Malah masa yang ditunggu itu tak akan tiba walau sampai bila kita menunggu.

Ada orang beruntung kerana ibubapa sudah simpan dan daftarkan haji untuk kita. Namun untuk yang tiada peluang sedemikian, mula menyimpan sendiri. Ada orang yang menyangka, biarlah saya menyimpan dan fokus untuk haji sahaja. Di sini perlu ada ilmu. Umrah pertama kali adalah wajib.

Pendapat jumhur ulama mengatakan yang umrah itu wajib dilakukan sekali seumur hidup. Namun jika diulang berkali-kali, maka ia menjadi sunat dan akan memperoleh pahala yang banyak.

Sabda Rasulullah SAW menyebut dengan maksudnya:

“Haji dan umrah itu kedua-duanya wajib. Tidak mengapa mengerjakan yang mana dahulu.”

Namun demikian, adalah tidak wajar bagi sesetengah orang yang menunaikan umrah berkali-kali tetapi belum menunaikan haji. Ibadah haji adalah fardhu dan perlu diberi keutamaan berbanding umrah dan dalam ibadah haji itu sendiri perlu diiringi oleh umrah.

Walau bagaimanapun, eloklah dilakukan dahulu umrah sebagai persediaan mengerjakan haji bagi membiasakan diri dengan amalan dan perbuatan serta keadaan persekitaran Tanah Suci. Bagi saya, kata-kata itu memang betul. Begitu terang jelas nyata segalanya. Barulah rasa ingin ke sana itu dapat difahami. Betapa tenangnya jiwa bila berada di sana. Betapa makna ingin pergi ke tanah suci itu betul-betul melekat di jiwa. Waktu itu, sekarang mahupun akan datang.

Bersambung...


Saturday 3 September 2016

Nice Day For Jogging





Penatnya nak cari tempat nak beraktiviti nak mengerakkan minda dan fizikal hari minggu ni. Nak zumba or aerobik macam selalu dah boring. Maklumlah pemandangan kat rumah tu nampak sama je. So the doughter berjaya memujuk untuk keluar dan 'berlari atau berjalan", walhal selama ni , kami tak berapa gemar nak buat aktiviti yang agak memenatkan ni.

Pulang ke rumah saja memang rasa ceria gembira. Bersyukur sebab tak memenuhi pagi minggu ni dengan  tidur atau bergadget. Memang dah lama tak cuba jogging. Rasa kelainan. Rasa puas hati hari ni. Pusing sekelililng taman je. Next time boleh cuba, atau bolehla ibu buat aktiviti harian di pagi hari. 


Untuk catatan hari ni, kita belek antara kelebihan berjogging : 
  • Boleh buat dimana-mana dan bila-bila masa saja. 
  • Tak perlu nak pergi fitness centre tertentu dan berlatih pergerakan tertentu
  • Tak perlu alat-alat bagai
  • Percuma
  • Keahlian bela diri paling basic. Zaman gadget ni, jangan tak percaya, orang dah tak berlari dan berjogging untuk beriadah dan kesihatan
  • Menambahkan kecergasan otak 
  • Meningkatkan sistem imun
  • Pengurangan berat
  • Kelihatan lebih muda atau awet muda
  • Peningkatan stamina
  • Bertambah baik emosi kebahagiaan
  • Lebih mampu untuk menghadapi dan menangani tekanan
  • Menurun risiko penyakit jantung
  • Risiko osteoporosis menurun 
  • Otot yang lebih baik
  • Risiko menurun tekanan darah tinggi
  • Kapasiti paru-paru meningkat
  • dan banyak lagi
Ini hanya sebahagian. Kalau nak manfaatkan kelebihan tadi, jangan lupa mulakan berjogging okay. Selamat berlari!

Sunday 17 July 2016

Sejuknya Hari Ini



Rasa macam special sangat pagi ini di sekitar kawasan Petaling Jaya dan Puchong. Sebabnya tak rasa panas seperti selalu. Rasa dingin yang terasa menusuk ke dalam lapisan kulit. Angin yang meniup terasa membuai-buai. Jauhnya menerawang kan. Seawal pagi pukul 7 saya sudah berada di PPUM untuk meneman ibu tersayang membuat pemeriksaan. Keputusannya OK. Syukur alhamdulillah.  Tak sedar bila masa hujan dah mencurah di 'pergunungan Puchong'. Saya kena letak istilah ini hari ini saja kerana suasana persekitaran sangat-sangat nyaman seperti berada di negara bermusim.